Projek kenderaan elektrik nasional bakal dicadangkan

Menurut laporan The Malaysian Reserve, Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) sedang dalam rancangan untuk menghasilkan kertas cadangan bagi kenderaan elektrik (EV) nasional.

CEO syarikat Mohd Azman Zainul Abidin yang mendedahkan projek kenderaan elektrik nasional kini sedang dijalankan oleh jawatankuasa peringkat tinggi di Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (METSCE). Beliau berkata inisiatif sedemikian adalah sejajar dengan tumpuan kerajaan Pakatan Harapan baharu mengenai perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar.

“Jawatankuasa ini sedang membuat cadangan untuk dibentangkan di peringkat kementerian, dan sekiranya mendapat kelulusan, ia akan diusulkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata Mohd Azman.

Beliau menambah bahawa Menteri METSCE Yeo Bee Yin turut menyokong inisiatif, yang akan bermanfaat apabila cadangan itu disampaikan kepada Tun Mahathir. Perdana Menteri sebelum ini telah menyuarakan hasratnya untuk projek kereta nasional baharu serta pembangunan bersama kereta ASEAN bersama Indonesia – yang idea itu ditolak oleh kebanyakan rakyat.

Setelah selesai, kerta cadangan terbabit, yang merangkumi cadangan untuk peratusan kecil kenderaan kerajaan yang akan ditukarkan kepada EV. “Sekiranya kerajaan komited untuk menukar sebahagian besar kenderaan rasmi kepada elektrik atau plug-in hybrid, ia akan mewujudkan kesedaran dan permintaan utama bagi para pengeluar untuk turut menyertainya. Permintaan itu akan membolehkan pengeluar melabur dalam pembuatan kenderaan dan stesen pengecasan,” ujar Mohd Azman.

Cara lain untuk menggalakkan permintaan bagi EV yang dicadangkan termasuk pelepasan cukai dan insentif untuk pembuatan EV di Malaysia. GreenTech Malaysia telah membangunkan kenderaan khas dengan Tenaga Nasional (TNB) untuk melabur dan membina stesen EV di seluruh negara.

Buat masa ini, terdapat 234 stesen pengecasan, dengan 150 daripadanya terletak di sekitar Lembah Klang. Mohd Azman berkata kerjasama dengan TNB ini akan menghasilkan sehingga 10,000 stesen pengecasan di seluruh negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun yang akan datang.

“Di Perancis dan Kanada, campur tangan kerajaan adalah tinggi untuk menggalakkan permintaan dan bekalan dalam segmen kenderaan mobiliti elektrik. Di Malaysia, di bawah kerajaan dan menteri yang baharu, ia dilihat sebagai proaktif dalam isu perubahan iklim dan penjagaan untuk mengekalkan alam sekitar, “katanya.

 

Idea kereta elektrik tempatan sebenarnya bukanlah suatu perkara baharu, sebelum ini Proton pernah mendedahkan Iriz EV pada Pameran dan Persidangan Produk Antarabangsa dan Persidangan Antarabangsa Greentech & Eco 2015 (IGEM).

Model prototaip tersebut menampilkan motor elektrik yang mampu memberi kuasa 116 kW (155 hp) dan tork 360 Nm. Motor ini dijanakan oleh bateri polimer lithium-ion 39.6 kWh yang dibangunkan oleh LG, mampu memberikan pacuan 0-100 km/ dalam kurang sembilan saat dan kelajuan tertinggi sehingga 150 km/j.

Dan itu juga bukanlah satu-satunya EV yang dibangunkan oleh Proton, malah syarikat ini turut pernah mendedahkan Preve REEV (range extender electric vehicle), Saga EV dan Exora REEV beberapa tahun yang lalu. Kesemua kenderaan tersebut sekadar berfungsi sebagai prototaip sahaja dan tidak akan dijual di Malaysia.

Dengan keadaan sekarang, adakah anda rasakan kereta elektrik nasional wajar dibangunkan dan dijual di pasaran tempatan?

Sumber : Paultan.org

Related Posts