Perodua terus komited terhadap kepuasan pelanggan, alam sekitar dengan piawaian ISO terkini

Rawang, 29hb Jun: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dan anak syarikat sepenuhnya Perodua Sales Sdn Bhd telah diperakui secara rasmi oleh SIRIM dengan versi terkini 2015 ISO (International Organisation for Standardisation) piawaian 9001 dan 14001, menekankan komitmen syarikat terhadap kepuasan pelangggan dan tanggungjawab kepada alam sekitar.
Untuk mendapatkan pensijilan ISO 9001, sesebuah organisasi harus mematuhi piawaian kualiti terbaik di dalam proses kerja mereka, bertujuan untuk meningkatkan kepuasan pelanggan dalam setiap aspek. Sementara itu, ISO 14001 pula lebih menumpukan kepada piawaian alam sekitar.
“Pengiktirafan ISO daripada SIRIM ini amat bermakna buat Perodua kerana ia mengukuhkan visi kami untuk menjadi syarikat yang kompetitif di rantau ini dan membuktikan usaha kami dalam melaksanakan Kaizen, atau penambahbaikan secara berterusan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh semasa upacara penyampaian sijil yang diadakan di Ibu Pejabat Perodua di Sungai Choh, hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn Bhd, En Mohd Azanuddin Salleh yang menyampaikan sijil kepada Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.
Perodua mula melaksanakan piawaian ISO pada tahun 1998. ISO 9001 telah diperluaskan ke cawangan jualan dan pusat servis Perodua secara berperingkat sejak tahun 2005, bagi menyeragamkan pengalaman pelanggan (Customer Experience) di seluruh negara. Kini, semua cawangan Perodua telah diperakui ISO.
Sejak permulaan, Perodua telah berjaya menjalani satu penaiktarafan ISO 14001 dan tiga penaiktarafan ISO 9001, termasuk pensijilan hari ini yang merangkumi 39 cawangan jualan dan 55 pusat servis di seluruh negara, termasuk 35 jabatan di Ibu Pejabat Perodua.
“Permintaan pasaran dan industri sentiasa berubah, dan amat penting buat kami untuk meningkatkan piawaian dalam prosedur kerja agar dapat menyesuaikan diri dan bertindak mengikut perubahan tersebut. Sekiranya kita relevan di mata pelanggan, maka kita dapat mengatasi jangkaan mereka,” kata Datuk (Dr) Aminar.
“Dengan pensijilan yang telah dinaiktaraf ini, kami berharap agar kami dapat terus mengurangkan jurang indeks kepuasan di antara Perodua dan pesaing antarabangasa lain yang diiktiraf,” katanya.
Datuk (Dr) Aminar berkata Perodua juga akan memperluaskan piawaian ini kepada rakan-rakan niaganya pada masa akan datang, sama ada pengedar atau pembekal.
“Kami akan memastikan rakan-rakan niaga dan para pembekal kami mematuhi amalan hijau seperti yang dikehendaki dalam piawaian ISO, termasuk dari segi mendapatkan sumber bahan yang lebih mesra alam,” katanya.
Selain memastikan kepuasan pelanggan dan pengurusan alam sekitar ke tahap yang lebih tinggi, pelaksanaan ISO juga telah membawa kepada penambahbaikan dalam proses dan komunikasi dalaman Perodua, termasuk proses penghantaran kepada pelanggan.
Pertama kali diperkenalkan pada tahun 1987, ISO 9001 merupakan salah satu sistem pengurusan kualiti yang paling banyak digunakan di seluruh dunia. Dengan pembaharuan versi 2015, ia memperluaskan lagi keperluan dengan memasukkan elemen pemikiran berasaskan risiko.
ISO 14001 pula, yang diperkenalkan pada tahun 1996, lebih mengambil kira pengurusan alam sekitar dan pencegahan pencemaran. ISO 14001:2015 yang terkini membawa penekanan tambahan kepada kepimpinan, perancangan strategik, inisiatif proaktif dan juga strategi komunikasi.

Sumber : Facebook

Related Posts