Perdana Menteri berkata, idea itu dicadangkan oleh pihak swasta dan mana-mana pihak yang berminat dengan projek baharu kereta nasional ini boleh mengemukakan cadangan.

“Jika cadangan mereka baik, kerajaan akan memberi peluang ini kepada mereka, tetapi kita tidak akan memberikan lesen kepada orang untuk dijual (kepada pihak lain),” katanya pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan kerja tiga harinya ke Jepun hari ini.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelbagai reaksi termasuk kritikan ekoran cadangan beliau mewujudkan projek kereta nasional kedua bagi menggantikan Proton.

Perdana Menteri juga berkata, jika negara mempunyai projek kereta yang baharu ia akan membantu meningkatkan keupayaan kejuruteraan di negara ini.

Katanya, ketika beliau memulakan projek kereta Proton pada tahun 1980an, Malaysia tidak mempunyai kapakaran menghasilkan sebuah kereta, tetapi secara perlahan-lahan menguasai kepakaran itu hingga mampu mereka bentuk dan mengeluarkan kereta secara besar-besaran dalam tempoh dua dekad.

“Malangnya Proton dijual kepada China yang diberi hak untuk menguruskan Proton. Jadi Malaysia sekarang tidak memanfaatkan kemahiran yang ada,” katanya.

Disebabkan itu juga katanya, banyak syarikat kejuruteraan tempatan terpaksa ditutup kerana tidak dapat membekalkan item berdasarkan permintaan pengurusan baharu Proton.

“Kita kena pulihkan mereka kerana idea melabur dalam pengeluaran kereta nasional bukan sekadar menghasilkan kereta, tetapi ia menjadi pemangkin untuk pertumbuhan kejuruteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas pertemuan beliau dengan pemimpin-pemimpin orgnasi perniagaan terkemuka Jepun pada sebelah pagi, Dr. Mahathir memberitahu, mereka berminat menambah pelaburan dan meningkatkan kegiatan mereka di Malaysia.

Kerajaan baharu Pakatan Harapan pula kata beliau, akan mengkaji syarat-syarat yang menyusahkan para pelabur bagi memudahkan mereka mengembangkan perniagaan di negara ini.